Saturday, 19 October 2013


KALONG SENI MOTIF TRADISI ORANG ULU
          
  Kalong ialah seni motif dari timur iaitu daripada Orang Ulu yang tinggal di Sarawak. Menurut Zaid Ahmad (2010), ‘Orang Ulu’ adalah istilah yang digunakan secara kolektif untuk merujuk kepada suku kaum yang mendiami kawasan hulu sungai di pedalaman Sarawak. Mereka termasuklah suku kaum Kayan dan Kenyah, serta kelompok minoriti yang berhampiran seperti Kejaman, Punan, Ukit dan Penan. Mereka mendiami rumah panjang yang dihiasi dengan pelbagai lukisan dan ukiran kayu. Salah satu daripada ukiran ini iaitu Kalong (bahasa Kenyah) atau Ekeng (bahasa Kayan) bermaksud motif atau lukisan tradisi. Seni ukiran ini mempunyai kehebatannya yang tersendiri kerana selain rupanya yang unik dan menarik serta terhasil dalam pelbagai bentuk dan corak, ia juga mempunyai asal-usul yang menarik serta pelbagai kegunaan dalam kehidupan harian Orang Ulu. Berikut akan dibincangkan kehebatan seni ini berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan di atas.

Asal Usul
            Seni ini mempunyai pelbagai kisah yang hebat mengenai asal-usulnya. Salah satunya ialah cerita yang dikaitkan dengan Batu Kalong atau Batu Berukir. Menurut Philip Ngau (1989) dalam jurnalnya The Ngurek (Jeffrey Jalong, 2001), gelaran “batu kalong” oleh Orang Ulu (Kayan–Kenyah) ke atas sebuah batu tersebut disebabkan pada permukaan batu tersebut terdapat pelbagai jenis corak motif, ukiran pahat dan hasil seni lukisan tradisi Kayan-Kenyah yang ditinggalkan oleh para migrasi yang melalui batu tersebut. Batu Kalong wujud hingga kini dan terletak di sempadan Kalimantan-Sarawak. Tinggalan hasil seni motif dan ukir tersebut menurut penulis banyak memberi kesan ilham dan inspirasi kepada anak-anak suku kaum Kayan-Kenyah yang mewarisi seni motif tradisi orang Ulu.

            Selain itu, menurut Jeffrey Jalong (2001), seni motif atau kalong Orang Ulu menurut ceritanya turut dipengaruhi oleh kisah-kisah serta cerita lama yang disampaikan yang mana mengandungi keindahan seni motif atau ukiran yang menghiasi rumah-rumah panjang yang diceritakan. Daripada kisah-kisah ini maka si pendengar dapat inspirasi dan kemahiran untuk melukis motif seperti yang diceritakan dalam lagenda tersebut.

Jenis-jenis kalong
Salah satu kehebatan seni ini adalah ianya wujud dalam pelbagai bentuk dan corak. Misalnya motif kalong Kenyah, Kelabit, Kayan, Lun Bawang, Kajang dan lain-lain suku kaum Orang Ulu mempunyai perbezaan dari segi corak motif yang dilukis. Ini menjadikan kalong Orang Ulu unik dan pelbagai. Berikut adalah beberapa contoh jenis kalong yang biasa dilihat (Jeffrey Jalong, 2001):

(a)  Kalong Kelunan (motif manusia)

            Secara simboliknya motif manusia atau kalong kelunan digunakan sebagai simbol kelas atasan masyarakat Orang Ulu. Motif ini melambangkan kekuasaan, kekayaan dan kepimpinan yang disegani. Kalong kelunan banyak digunakan sebagai hiasan pada dinding rumah, ketua uma panjang, ba’anak, pakaian dan sarung wanita serta beberapa bentuk hiasan lagi. Salah seorang artis atau tokoh Kayan terkenal dalam seni kalong ini iaitu Jok Bato yang berasal dari Kalimantan pernah melukis motif kalong kelunan yang digabungkan dengan kalong bali sungai dan kalong tinggang pada dua keping papan lapis. Kalong ini dilekatkan pada dinding kantin milik Datin Devong Anyie pada sekitar tahun 1972. Secara simboliknya, hiasan tersebut bertujuan untuk menajga dan melindungi persekitaran kantin daripada kuasa negatif dan sebagainya


Rajah 1: Kalong Kelunan


Rajah 2: Amban Belare seorang artis kalong sedang menyiapkan kalong kelunan



(a)  Kalong Kelawit-lawit (ukiran salur paut)

            Setiap motif tradisi Orang Ulu mempunyai sifat-sifat ini. Ilham ukiran ini menurut ceritanya datang daripada tumbuh-tumbuhan. Ukiran ini memiliki bentuk seperti salur paut tumbuhan yakni boleh berdahan atau dipautkan di mana-mana bahagian motif berkenaan. Kebiasaannya motif ini akan digabungkan dengan corak motif utama seperti kalong kelunan, kalong aso dan sebagainya. Kalong ini memainkan peranan yang sangat penting dalam penghasilan sesebuah ukiran, kerana tanpa kombinasi ukiran ini, sesuatu motif tersebut akan kelihatan kosong dan tidak seimbang. Motif salur paut ini turut digunakan sebagai hiasan motif pada keranda oleh masyarakat kelas atasan dan bawahan.


Rajah 3: Kalong kelawit-lawit yang menghiasi alat muzik

(a)  Kalong Tebeggang atau Tingang (motif burung kenyalang)

Seni motif ini selalunya dikaitkan dengan roh atau semangat yang menyampaikan pesanan atau mesej kepada masyarakat Orang Ulu. Sering kali lukisan burung kenyalang ini akan dilukis pada bahagian atas atau tengah sesuatu motif.


Rajah 4: Kombinasi kalong kelunan, tebenggang dan kelawit-kawit


(a)  Kalong Kayu Aren, Kayu Udip (Kenyah) atau Udo Beran (pokok kehidupan)
Udo Beran dalam bahasa Kayan menandakan perihal kehidupan di sesebuah rumah panjang tersebut. Kepercayaan masyarakat Orang Ulu ( Kayan-Kenyah) di kawasan Baram menyatakan bahawa ilham atau motif pokok kehidupan ini diperoleh daripada pemerhatian ke atas pokok ara. Motif kayu aru (Kenyah Long Nawang) atau udo beran (Kayan) sentuhan seni Tusau Padan adalah salah satu contoh kalong jenis ini yang amat menarik dan dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa. Motif ini biasanya diukir di depan bilik ketua rumah panjang. Salah satu makna motif ini ialah bilangan penduduk sebuah rumah panjang itu ramai selain melambangkan sifat kebergantungan di kalangan penduduk.


Rajah 5: Kalong Kayu Aren

Kegunaan dalam kehidupan seharian
            Kehebatan seni hiasan motif ini juga terserlah dari segi penggunaannya. Orang Ulu menggunakan seni motif ini untuk mencorakkan kehidupan seharian mereka. Seni hiasan motif ini memberikan beberapa tafsiran dan maksud penggunaan dalam kehidupan Orang Ulu seperti yang berikut (Jeffrey Jalong, 2001).

(a)  Simbol status dalam masyarakat
Jenis-jenis kalong tidak boleh digunakakan sebarangan. Misalnya kalong kelunan dan kalong tingang (kenyalang) hanya boleh dipakai oleh golongan maren dan ketau’. Jenis-jenis kalong ini juga merupakan identiti bagi golongan kelas atasan.

(b)  Sebagai pelindung
Masyarakat Orang Ulu percaya bahawa kalong memainkan peranan penting sebagai simbol atau lambang kepada seseorang individu tersebut. Sebagai contoh, ketua kampong selalunya menghiasi kalong kelunan dan kalong lejau sebagai pelindung rumahnya manakala kalong tinggang pula adalah kalong yang boleh menyejukkan suasana di dalam rumah tuan punya ukiran.

(c)  Motif sebagai perhiasan barang kraftangan
Contohnya motif yang terukir pada sesuatu kelebit (perisai). Menurut kepercayaan masyarakat Orang Ulu, motif pada kelebit yang menyerupai kepala manusia dengan mata yang bulat terbeliak dan dan gigi dan taring yang memanjang keluar dapat melemahkan semangat perang pihak lawan. Kalong seperti motif kelawit-kawit yang juga menghiasi alat muzik seperti sape sampe’, tuvung (drum) dan sebagainya. Ukiran ini bukan sahaja dapat mencantikkan alat tersebut tetapi juga dipercayai dapat membangkitkan minat, semangat dankemahiran kepada si pemain pemuzik berkenaan.

(d)  Perhiasan diri (tatu)
Kalong juga dilukis sebagai perhiasan badan dalam bentuk tatu atau tedek. Memiliki tatu adalah sebahagian adat dan tradisi Orang Ulu sejak zaman-berzaman. Bagi kaum wanita, memiliki tatu bukan sahaja sebagai simbol kecantikan tetapi juga dipercayai sebagai persediaan kehidupan selepas kematian. Tatu pada tubuh wanita dipercayai dapat dijadikan penyuluh jalan yang gelap. Manakala motif yang terukir pada lengan kaum lelaki pula bermaksud bahawa dia pernah berlawan dan berjaya memenggal kepala musuh.



Rajah 6: Tatu tradisi orang Kayan


(a)  Perhiasan seni bina
Pada asasnya hiasan-hiasan motif tradisi ini berdiri dalam bentuk kalong nding, kalong besulan, kalong suka’ (motif pada tiang), kalong libun atau kalong lepubong yang ada kaitan dengan semangat padi. Motif yang dilukis pada perahu –perahu panjnag juga dihiasi dengan motif naga, anjing, buaya, kenyalang dan sebagainya. Selain itu, motif juga kelihatan pada tiang-tiang rumah, tempat bersembahyang, dinding-dinding rumah panjang dan sebagainya.

(b)  Pakaian tradisi (upacara)
Motif kalong juga diukir pada pakaian lelaki dan wanita yang digunakan semasa upacara rasmi atau keagamaan. Kain sarung ta’ah yang dipakai oleh penari wanita semasa persembahan tarian tradisional juga dihiasi dengan pelbagai motif kalong seperti kalong silong kelunan, kalong kelawit-kawit dan sebagainya. Begitu juga dengan penari lelaki di mana kalong ini digunakan pada bahagian abet (bah), tabit (tikar alas punggung) dan lain-lain.


Rajah 7: Motif yang menghiasi pakaian tradisi Orang Ulu

            Kesimpulannya,  kalong atau corak motif tradisi Orang Ulu ini dipercayai memiliki kehidupan seperti mana manusia. Motif ini dipercayai mempunyai roh atau semangat yang mampu membantu, melindungi dan sebagainya. Seni kalong ini adalah contoh seni yang dapat memberi kita pengajaran dan kesedaran dalam hidup terutamanya dari segi penghargaan alam sekitar, emosi, psikologi dan ketamadunan sesuatu kaum. Perhiasan motif ini menjadi lambang identiti yang hebat kepada Orang Ulu di mana motif ini mewakili banyak makna kepada mereka.



Rujukan

Jeffrey Jalong. (2001). Kalong: Seni Motif Tradisi Orang Ulu. Kuala Lumpur: Perpustakaan          Negara Malaysia.
Zaid Ahmad. (2010). Hubungan Etnik di Malaysia. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment